Pernah mendaki atau dengar mengenai Gunung Melaka? Tak pernah? Kami pun. Baru-baru ini Bukit Gapis telah diisytiharkan sebagai Gunung Melaka.
Bagi penggemar aktiviti mendaki bukit di Melaka mungkin mengenali Bukit Beruang atau Bukit Batu Lebah tetapi Bukit Gapis mungkin sedikit asing. Sememangnya Bukit Gapis kurang dikenali disebabkan kurang pendedahan terhadap kawasan yang sedikit terpencil ini.
Walaubagaimanapun ia semakin mendapat perhatian apatah lagi selepas menjadi viral meskipun sebelum ini sering menjadi tempat orang kampung mencari hasil hutan di sana.
Pengisytiharan Bukit Gapis sebagai Gunung Melaka secara rasmi pada 17 Oktober 2020 sempena Program Hiking Bukit Gapis bersama agensi kerajaan. Program tersebut dilaksanakan bagi melihat status bukit tersebut sebelum diiktiraf sebagai satu-satunya Gunung di negeri Melaka.
Sudah pasti ia menjadi satu berita yang menggembirakan bagi penggemar aktiviti pendakian dari Melaka yang selama ini hanya tertumpu di Bukit Beruang atau Bukit Batu Lebah
Ketinggian 480 meter itu menjadikan ianya melepasi syarat sesebuah bukit diiktiraf sebagai gunung iaitu 457.2 meter. Ini sekaligus menjadikan Bukit Gapis @ Gunung Melaka tempat paling tinggi di Melaka yang telah diiktiraf.