Mengikut cerita orang lama-lama atau orang tua , NYALAS didirikan oleh Tok Gubah @ Sutan Abu Kasim dari Pagar Ruyung dengan bantuan sahabatnya Pawang Landas @ Sapian sekitar 1700-1750. Hari ini, NYALAS merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Jasin, Melaka. Nyalas mendapat nama dari daun Palas yang banyak terdapat di kawasan ini suatu masa dahulu.
Tok Gubah bersama dengan kaum kerabat dan sahabat-sahabatnya berhijrah dari Minangkabau , Sumatera ke Melaka melalui selat Melaka dan mudik di Perairan Melaka. Dipercayai Tok Gubah adalah putera Raja Minangkabau dari Istana Lindungan Bulan/Gadang yang merajuk dan membawa diri ke Tanah Melayu. Setelah sampai ke Tanah Melayu , Tok Gubah bersama rombongannya telah berjalan hingga ke suatu tempat yang bersamaan dengan keadaan kampung halaman mereka iaitu mempunyai bukit bukau , sungai dan keadaan muka bumi yang landai sesuai untuk penginapan dan bercucuk tanam sebagai sumber ekonomi mereka.
Ketika mereka membersihkan kawasan hutan untuk dibuat rumah , ada sejenis tumbuhan yang mistik , apabila mereka memotong sebelah pagi , namun keesokkan harinya tumbuhan itu kembali hidup dan memanjang. Setelah itu Tok Gubah telah memanggil Pawang / Tok Landas untuk meminta bantuan memotong tumbuhan misteri itu. Tumbuhan itulah yang dipercayai sebagai pokok palas yang sehingga hari ini dipercayai nama Nyalas diambil daripada bunyi pokok palas tersebut.
Nyalas pada mulanya terdiri daripada beberapa kampung saperti Kampung Gubah, Kampung Masjid Baru, Kampung Abbey, Kampung Pondok Batang, Kampung Gapis, Kampung Mantai dan Kampung Melangkan. Kini terdapat beberapa kawasan perumahan baru saperti Nyalas Baru, Taman Seri Nyalas dan Taman Nyalas Permai.Kawasan Nyalas ini terbahagi kepada 5 solok iaitu: Gapis, Mantai, Ayer Repat, Palembang dan Kampung Baru.
Mukim Nyalas juga mengamalkan adat Perpatih yang dibawa terus daripada Tanah Minang dan bukannya daripada Negeri Sembilan. Orang Nyalas juga bertutur dengan bahasa Melayu loghat Minang dan bukannya berasal daripada Negeri Sembilan sebaliknya keturunan Tok Gubah memang diakui ada di Istana Gadang di Tanah Minangkabau.