Etika deskriptif menurut Mohd. Nasir Omar (1986), ialah satu disiplin yang
menerangkan tentang sejarah sistem moral, iaitu apakah sistem moral yang
dianuti oleh seseorang individu atau oleh sekelompok masyarakat.
Contohnya, penilaian moral mungkin berbeza antara bangsa Yahudi,
Melayu, Cina, India dan sebagainya. Ini bermakna etika deskriptif cuba
menjelaskan bahawa terdapat pelbagai sistem moral yang efektif tetapi ia
tidak membuat penilaian atau keputusan terhadap sistem moral tersebut.
Falsafah Etika Preskriptif atau Normatif berkaitan dengan norma-norma
atau standard-standard yang telah ditentukan. Contohnya, manusia lazim
bertindak mengikut kepentingan diri masing-masing. Dari segi normatif
akan dipersoalkan sama ada manusia harus (should) bertindak mengikut
kepentingan diri masing-masing atau sepatutnya (ought to) bertindak atau
berkelakuan mengikut kepentingan masing-masing. Ini bermakna Etika
Normatif cuba menentukan atau menetapkan bagaimana seseorang individu
harus bertingkah laku, namun ia tidak menerangkan bagaimana mereka
bertindak atau berkelakuan. Aspek lain dalam etika preskriptif ini ialah, ia
turut merangkumi justifikasi nilai moral dalam sesuatu keterangan atau fakta.
Misalnya, pengguguran ialah satu perbuatan yang tidak bermoral. Kenyataan
ini mungkin tidak menentukan apa-apa tetapi melibatkan penilaian nilai
moral normatif (Thiroux, 1995).
Pendekatan metaetika berasal daripada perkataan
awalan meta daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘melebihi’ atau
‘melampaui’. Ini kerana ia dikatakan berada di taraf yang lebih tinggi
daripada perilaku beretika iaitu pada taraf bahasa beretika iaitu bahasa yang
kita gunakan dalam disiplin moral (Bertens, 2003).
Thiroux (1995) pula menulis bahawa pendekatan Etika Metaethics atau
Analytic pula bersifat analitikal dalam dua cara. Pertama ialah analisis bahasa
etika metaethicists. Contohnya apa yang kita maksudkan apabila kita menyebut
perkataan ‘baik’. Adakah perkataan ‘baik’ tersebut menggambarkan maksud
yang sama bagi semua manusia atau ia mungkin ditafsirkan dengan maksud
yang berbeza oleh individu yang berbeza. Kedua, menganalisis sejauh mana
rasionalnya sistem etika iaitu aspek logik dan alasan-alasan yang diberikan
oleh pelbagai penganalisis etika. Berbeza dengan etika normatif, etika
metaethics tidak menerangkan tentang sesuatu sebaliknya melihat kepada
aspek yang lebih luas (meta), berkaitan dengan sebab-musabab dan
kewarasan, struktur-struktur logikal dan bahasa berbanding dengan
kandungan. Ahli-ahli etika metaethics memfokuskan kepada aspek bahasa dan
logik kerana mereka tidak dapat menetapkan secara jelas satu sistem yang
dikatakan beretika dan perlu dipatuhi oleh semua. Ini kerana manusia hidup
dalam dunia, budaya dan persekitaran yang bukan sahaja berbeza malah juga
kompleks.
No comments:
Post a Comment