HAK INDIVIDU
Hak individu adalah hak-hak am seseorang dalam masyarakat. Hak-hak ini menggariskan batasan perhubungan antara individu. Ia adalah sesuatu yang universal. Setiap manusia mahu hak dan maruahnya dihormati.
(1) Apakah yang anda faham dengan hak-hak individu? Huraikan dan berikan contoh yang sesuai.
Hak individu adalah hak-hak am seseorang dalam masyarakat yang
menggariskan batasan perhubungan antara individu. Ia adalah
sesuatu yang universal kerana setiap manusia mahu hak dan
maruahnya dihormati. Hak individu atau juga dikenali sebagai hak
persendirian atau privasi adalah hak seseorang untuk bersendirian,
untuk bebas daripada publisiti yang tidak dikehendaki dan untuk
menikmati kehidupan sebagaimana yang diingininya, tanpa nama,
gambar atau kegiatannya ‘diawamkan’ melainkan jika dia ingin
mengenepikan hak itu.
Bagaimanapun hak individu ini hanya terhad untuk melindungi
perasaan orang yang hidup sahaja. Perbadanan atau institusi awam
tidak mempunyai hak-hak ini melainkan jika diberikan oleh undangundang khas.
(2) Mengapakah kemajuan media massa mengancam hak-hak individu?
Komunikasi massa mengancam hak individu kerana semakin
canggih teknologi komunikasi dan media, semakin mudah untuk
pihak berkenaan mendapatkan maklumat peribadi dan
menyebarkannya dalam masa yang singkat kepada khalayak yang
ramai. Selain itu teknologi juga memungkinkan pencabulan hak
individu seperti sesuatu gambar yang ditukar wajahnya kepada
wajah orang lain yang bertaraf selebriti akan melanggar hak individu
selebriti terbabit.
Mokhtar (2004) membahagikan pelanggaran hak individu kepada empat cara:
1. Gangguan secara salah
Pada umumnya ia melibatkan gangguan terhadap hak persendirian atau unsur peribadi seseorang tanpa pengetahuan dan keizinannya. Cara ini kerap melibatkan penggunaan alat-alat pengintipan seperti mikrofon tersembunyi, kamera berkuasa tinggi atau dengan mendapatkan dokumen peribadi seseorang secara haram.
2. Menerbitkan bahan peribadi
Ini kerap terjadi apabila penerbit akhbar menerbitkan fakta-fakta tentang kehidupan peribadi seseorang yang boleh menyakitkan hatinya dan lantaran itu boleh menyebabkan orang itu mengalami gangguan mental atau keadaan yang memalukan.
3. Meletakkan seseorang dalam gambaran palsu
Ini boleh berlaku apabila sesebuah cerita, berita atau gambar, menggambarkan sesuatu selain faktanya yang sebenar. Sifat bahan yang diterbitkan itu semestinya tidak boleh menyebabkan orang ramai menyangka benar atau mempercayai sesuatu yang tidak disebutkan atau digambarkan secara khusus oleh bahan itu.
4. Aproriasi
Sesebuah penerbitan adalah salah dan mengganggu privasi seseorang jika menggunakan nama, persamaan, atau keperibadiannya untuk tujuan pengiklanan atau perdagangan.
Keempat-empat kesalahan ini biasanya dilakukan oleh pihak media melalui berita-berita dan gambar yang mereka terbitkan.
Zelezny (2001) menghuraikan PELANGGARAN HAK INDIVIDU di atas.
PERLINDUNGAN HAK-HAK INDIVIDU OLEH NEGARA
LUAR
Perlindungan hak individu adalah sesuatu yang rumit apabila ia melibatkan media massa yang semakin maju dan keupayaannya untuk menyebarkan maklumat dengan cepat. Tambahan pula pelanggaran hak individu pada masa kini tidak lagi terhad kepada media massa.
Bagaimanapun menurut Smartt (2006), tidak ada hak individu yang dilindungi di bawah undang-undang Inggeris sehinggalah Akta Hak Asasi Manusia (1998) diperkenalkan yang menggunapakai Konvensyen Eropah Tentang Hak Asasi Manusia (European Convention on Human Rights, ECHR). Dalam konvensyen ini, Perkara 8 menjamin hak privasi kepada individu:
Perkata 8(1): Setiap individu mempunyai hak untuk dihormati hak privasinya, keluarganya, rumahnya dan apaapa yang berkaitan dengannya.
Perkara 8(2): Tidak akan ada gangguan daripada pihak berkuasa dengan pelaksanaan hak ini, kecuali jika ia adalah selaras dengan undang-undang dan perlu untuk masyarakat demokrasi yang melibatkan keselamatan negara, keselamatan umum atau kestabilan ekonomi negara, untuk menghalang kekacauan atau jenayah, atau untuk perlindungan kesihatan atau moral, atau untuk melindungi hak dan kebebasan orang lain.
Dapat dilihat di sini bahawa hak privasi yang diberikan oleh ECHR bukanlah hak mutlak tetapi disyaratkan oleh beberapa perkara dalam Perkara 8(2) yang kebanyakannya mengutamakan hak awam melebihi hak individu.
PERLINDUNGAN HAK INDIVIDU DI MALAYSIA
Sehingga kini Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus yang melindungi hak-hak individu. Di Malaysia tidak ada akta yang dikenali sebagai Akta Privasi sebagaimana dimiliki oleh negara-negara lain.
Lebih malang lagi apabila Privacy International, sebuah badan bukan kerajaan yang berpusat di Britain, melalui kajian yang dilakukannya melibatkan 50 negara telah meletakkan Malaysia di antara negara yang terendah dalam perlindungan hak privasi. Antara lain kajian yang dilakukan pada tahun 2006 itu adalah berdasarkan kepada tiada undang-undang privasi yang komprehensif dan penggunaan kamera litar tertutup yang meluas tanpa perlindungan privasi (Shahrum, 2008).
Bagaimanapun ini tidak bermakna Malaysia tidak menjamin hak-hak individu kerana terdapat beberapa Akta yang digunakan untuk melindungi hak-hak ini. Antaranya adalah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, Akta Hasutan (1948), Akta Fitnah (1957) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1948).
(3) Nyatakan apakah peruntukan yang terdapat di bawah Perkara 8 ECHR?
Perkara 8 ECHR menjamin hak privasi individu iaitu:
Perkata 8(1): Setiap individu mempunyai hak untuk dihormati hak privasinya, keluarganya, rumahnya dan apa-apa yang berkaitan dengannya.
Perkara 8(2): Tidak akan ada gangguan daripada pihak berkuasa
dengan pelaksanaan hak ini, kecuali jika ia adalah
selaras dengan undang-undang dan perlu untuk
masyarakat demokrasi yang melibatkan keselamatan
negara, keselamatan umum atau kestabilan
ekonomi negara, untuk menghalang kekacauan atau
jenayah, atau untuk perlindungan kesihatan atau
moral, atau untuk melindungi hak dan kebebasan
orang lain.
(4) Adakah Malaysia melindungi hak-hak individu? Jika ya, senaraikan akta-akta yang berkaitan.
Ya, Malaysia masih melindungi hak-hak individu walaupun tidak memperuntukkan sebarang akta khusus untuk hak-hak individu. Antara akta-akta yang berkaitan adalah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
(5) Adakah hak-hak individu yang dijamin oleh undang-undang diberikan secara mutlak? Berikan contoh-contoh yang sesuai untuk menyokong pendapat anda.
Walaupun terdapat undang-undang yang memberi perlindungan kepada hak individu, tetapi ia tidak diberikan secara mutlak. Biasanya terdapat beberapa syarat yang diletakkan yang mengutamakan hak awam berbanding hak individu. Contohnya Perkara 8(1) ECHR memberikan jaminan kepada hak individu tetapi ia dibatasi oleh Perkara 8(2) yang antara lain mensyaratkan bahawa hak individu yang diberikan adalah selaras dengan undang-undang, tidak melibatkan keselamatan negara, keselamatan umum atau kestabilan ekonomi negara.
HAK-HAK INDIVIDU YANG DILINDUNGI DI BAWAH SEKSYEN 448 KANUN KESEKSAAN
Di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, sesiapa yang didapati bersalah kerana menceroboh bangunan atau rumah akan dihukum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Seksyen ini tidak melibatkan bidang komunikasi kerana secara dasarnya ia tidak melibatkan media.
Seksyen 448 Kanun Keseksaan pernah digunakan ke atas seorang ahli perniagaan, Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom yang kemudiannya didapati bersalah kerana telah menceroboh dan memasang kamera intip di rumah pelakon terkenal Nasha Aziz atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz pada tahun 2003.
Di dalam kes ini, hak Nasha sebagai individu untuk hidup bebas di dalam rumahnya telah dicabuli apabila beliau secara tidak sengaja menemui sebuah kamera kecil yang disembunyikan di dalam alat penyaman udara di rumahnya. Ahmad Bakhtiar iaitu anak kepada tuan rumah yang disewa oleh Nasha didapati telah memasang dan merakamkan aksi-aksi Nasha termasuk aksi aksi bogelnya di dalam rumah beliau antara April hingga Julai 2002. Dalam kes ini, Majistret Ida Hanani Abdul Karim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Ahmad Bakhtiar.
HAK INDIVIDU YANG DILINDUNGI DI BAWAH AKTA HASUTAN (1948)
Sebilangan perkara yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan atau dipersoalkan secara terbuka.
Antara perkara yang dianggap sensitif itu termasuklah kedudukan berdaulat Raja-Raja; status Islam sebagai agama Persekutuan; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; hak istimewa orang Melayu; pemberian kewarganegaraan kepada bukan Melayu dan hak-hak lain yang diberikan kepada mereka selepas mendapat taraf itu. Sebahagian besar perkaraperkara itu telah dikategorikan sebagai tidak boleh dipersoalkan di bawah Akta Hasutan pada 1971 selepas terjadinya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.
Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan-kesalahan berikut boleh disabitkan di bawah Akta Hasutan (1969):
(i) melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut;
(ii) menyebut apa-apa perkataan menghasut;
(iii) mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa apa penerbitan menghasut; atau
(iv) mengimport apa-apa penerbitan menghasut, melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh bagi kesalahan kali pertama 103 didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan yang kemudian, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun; dan apa apa penerbitan menghasut yang didapati dalam milik orang itu atau yang digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraannya hendaklah dilucuthakkan dan boleh dimusnahkan atau dilupuskan dengan apa-apa cara lain sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang disebut dalam Akta Hasutan ini merujuk kepada kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Perkara 153 pula perizaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu dan Perkara 181 pula perkecualian kedaulatan Raja-Raja. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Hasutan bagi siapa juga yang mempersoalkan perkaraperkara itu.
Contoh Kes Melibatkan Akta Hasutan (1948)
Pihak polis telah menahan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar pada 17 Ogos 1997 bagi membantu siasatan kes liwat membabitkan bekas Timbalan perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka ditahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kata-kata berupa hasutan. Mereka bagaimanapun dibebaskan keesokkan harinya apabila keterangan mereka menunjukkan bahawa tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan lebih bergantung kepada andaian serta prasangka.
HAK INDIVIDU YANG DILINDUNGI DI BAWAH AKTA FITNAH (1957)
Akta Fitnah (1957) adalah akta yang banyak melindungi hak-hak individu terutamanya yang berkait rapat dengan maruah dan imej individu (Suhaini, 2004).
Matlamat undang-undang ini adalah untuk melindungi harga diri plaintif pada pandangan orang lain (Salleh, 1994).
Ia adalah suatu akta berhubungan dengan undang-undang libel dan slander serta kepalsuan berniat jahat yang lain. Selain Akta Fitnah, prinsip-prinsip common law turut terpakai oleh mahkamah dalam menjelaskan konsep fitnah itu sendiri. Menurut Suhaini (2004) fitnah merupakan kenyataan secara lisan atau bertulis dan bersifat sementara atau kekal. Ia menjejaskan reputasi seseorang dan mendedahkan diri kepada kebencian dan penghinaan diri dalam masyarakat.
Terdapat dua bentuk fitnah iaitu:
1. Libel
Libel merupakan kenyataan atau representasi fitnah dalam bentuk yang kekal. Ini termasuklah gambar, patung, tulisan, cetakan, tanda atau lambang kepada umum. Penyiaran fitnah menerusi telekomunikasi sama ada melalui radio dan televisyen juga perlu dianggap sebagai libel kerana Seksyen 3 Akta Fitnah 1957 menyatakan bagi maksud undang-undang libel dan slander, penyiaran perkataan-perkataan dengan cara komunikasi radio hendaklah dianggap sebagai penerbitan berbentuk tetap.
2. Slander
Slander pula merupakan kenyataan atau representasi fitnah menerusi perkataan atau tindakan (gestures). Untuk berjaya dalam sesuatu tindakan undang-undang, wujudnya kerosakan khas perlu dibuktikan terlebih dahulu.
HAK INDIVIDU YANG DILINDUNGI DI BAWAH AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN (1984)
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) adalah akta yang ditubuhkan untuk mengawalselia penggunaan mesin cetak dan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan dan pengedaran hasil penerbitan dan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
(6) Apakah hak-hak individu yang dilindungi di bawah Akta Fitnah 1957?
Akta Fitnah menjamin beberapa hak individu melalui peruntukanperuntukan di bawahnya. Antara lain, ia menjamin maruah dan reputasi individu tidak dicemari oleh individu lain dengan niat jahat. Ia bermatlamat untuk melindungi harga diri plaintif pada pandangan orang lain. Hak individu dilindungi daripada fitnah dalam bentuk kenyataan secara lisan atau bertulis dan bersifat sementara atau kekal selagi ia boleh menjejaskan reputasi seseorang dan mendedahkan individu itu kepada kebencian dan penghinaan diri dalam masyarakat.
Di Malaysia hak asasi dilindungi di Perlembagaan Persekutuan Bahagian II adalah bahagian khusus yang melindungi sembilan hak asasi manusia iaitu:
Perkara 5 – Kebebasan diri.
Perkara 6 – Keabdian dan kerja paksa dilarang.
Perkara 7 – Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang.
Perkara 8 – Kesamarataan.
Perkara 9 – Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.
Perkara 10 – Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Perkara 11 – Kebebasan beragama.
Perkara 12 – Hak berkenaan dengan pendidikan.
Perkara 13 – Hak terhadap harta.
RUMUSAN
Di dalam bab ini kita telah mempelajari tentang takrifan hak-hak individu atau juga dikenali sebagai hak privasi. Kita juga telah membincangkan bagaimana hak-hak ini boleh dicabuli terutamanya oleh media massa. Akhir sekali kita juga telah membincangkan secara mendalam tentang akta-akta berkaitan sama ada di luar negara ataupun di Malaysia
No comments:
Post a Comment