Thursday, 4 February 2021

KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN

 



KEPEMIMPINAN DAN PENGURUSAN

Fungsi-Fungsi Pemimpin

u  Dalam memperkatakan tentang fungsi kepemimpinan, Adair (1988) menggariskan bahawa fungsi tersebut mencakupi fungsi tugas, fungsi individu dan fungsi kumpulan.

 (i) Fungsi tugas - melibatkan definisi tugas, membuat perancangan, mengagihkan kerja dan sumber-sumber, mengawal kualiti dan tempoh kerja, memeriksa prestasi terhadap perancangan dan mengubahsuai perancangan.

 (ii) Fungsi individu - mencakupi menangani masalah-masalah personal, memberi pujian kepada individu, mengangkat status, mengiktiraf keupayaan dan menggunakan kemampuan individu serta melatih individu.

 (iii) Fungsi kumpulan - mencakupi penetapan standard atau piawaian,mengekalkan disiplin dan membina.


u  Menurut Mintzberg (1989) fungsi kepemimpinan ialah seperti berikut:

 (i) Menyelaraskan matlamat dalam kalangan ahli-ahli.

 (ii) Menyeimbangkan sumber-sumber dan keupayaan ahli dengan tuntutan persekitaran.

 (iii) Menyediakan struktur kumpulan yang diperlukan untuk memfokus maklumat dengan efektif bagi menyelesaikan masalah.

 (iv) Memastikan semua maklumat yang diperlukan boleh diperoleh di pusat membuat keputusan apabila diperlukan.


u  Bagi Stogdill (1974) fungsi kepemimpinan ialah seperti berikut:

 (i) Mengekalkan struktur kumpulan.

 (ii) Mengekal hala tuju.

 (iii) Menangani tuntutan yang bercanggah yang wujud dari dalam dan luar kumpulan.

 (iv) Menjelaskan objektif dan menyediakan cara-cara untuk mencapai matlamat.

 (v) Mengurus tindakan dan interaksi dalam kumpulan.

 (vi) Mengekalkan kedaulatan kumpulan dan kepuasan ahli.

 (vii) Memudahkan kumpulan mengerjakan tugas.


u  Menurut Cleveland (1972) pemimpin mempunyai fungsi seperti:

 (i) Mewujudkan dan mengakui hierarki matlamat kumpulan dan nilai-nilainya.

 (ii) Mengiktiraf dan menyepadukan pelbagai gaya kognitif yang ada dalam kumpulan.

 (iii) Menggunakan keupayaan ahli-ahli dalam kumpulan semaksimum mungkin.

 (iv) Membantu ahli-ahli menyelesaikan masalah melibatkan adaptasi terhadap realiti luaran dan juga yang melibatkan keperluan interpersonal.


Peranan Pengurusan Mintzberg

1. Kategori interpersonal

u  Dalam kategori interpersonal terdapat tiga peranan khusus iaitu peranan sebagai lambang, peranan sebagai ketua atau pemimpin dan peranan perhubungan.

Dalam peranan sebagai lambang, pengurus menjalankan tugas-tugas simbolik sebagai ketua organisasi. Manakala dalam peranan sebagai ketua atau pemimpin, pengurus mewujudkan iklim kerja dan merangsang subordinat untuk mencapai matlamat organisasi

2. Kategori pemberi maklumat

u  Dalam kategori pemberi maklumat juga mengandungi tiga peranan iaitu sebagai pemantau, penyebar dan jurucakap. Sebagai pemantau, pengurus bertindak mengumpul semua maklumat yang relevan dengan organisasi.

u  Sebagai penyebar, pengurus mengedarkan maklumat daripada luar kepada ahli-ahli dalam organisasi.

3. Kategori pengambilan keputusan

u  Dalam kategori pengambilan keputusan terdapat empat peranan khusus iaitu sebagai pengusaha, pembantu gangguan, pengagih sumber dan perunding.

u  Pengurus mengambil peranan usahawan apabila mereka mula mengawal perubahan dalam organisasi supaya sesuai dengan keadaan persekitaran yang berubah.

u  Peranan sebagai pembantu gangguan didapati apabila mereka terpaksa menyelesaikan perubahan yang tidak dijangkakan.


KEPEMIMPINAN AUTOKRATIK (VS) KEPEMIMPINAN DEMOKRATIK

Kepemimpinan Autokratik

u  Likert melihat kepemimpinan autokratik dalam dua bentuk iaitu sistem eksploitif autokrat dan benevolent autokrat. Kepemimpinan eksploitif autokrat bersifat dogmatik. Pemimpin jenis ini kurang memberi kepercayaan kepada ahli-ahli kumpulan.

u  Pendekatan gaya kepemimpinan autokratik bersifat arahan dari atas ke bawah. Perintah atau arahan yang dikeluarkan itu mesti dilaksanakan tanpa sebarang pertanyaan. Ini menunjukkan bahawa komunikasi lebih berat ke bawah.

u  Komunikasi dua hala jarang terjadi. Malah sangat sedikit interaksi secara lateral (mendatar) atau wujudnya kerja berpasukan. Motivasi pekerja dirangsang menerusi ganjaran dari masa ke masa dan juga berasaskan hukuman.

u  Mereka percaya bahawa ganjaran yang berupa kebendaan sahaja yang boleh memberikan dorongan kepada pekerja. Pembuatan keputusan dan kawalan juga berada di sebelah pihak sahaja iaitu di tangan pengurusan atasan. Penyelesaian masalah pula diatasi berasaskan maklumat yang sedia ada. Sistem benevolent autokrat pula memperlihat pendekatan parental dalam pengurusan.

Kepemimpinan Demokratik

u  Pemimpin dalam kepemimpinan demokratik membuat keputusan dengan melibatkan ahli-ahli dalam kumpulannya. Jika suatu keputusan dibuat pemimpin akan menerangkan sebab-sebabnya kepada ahli-ahli dalam kumpulan.

u  Di bawah kepemimpinan jenis ini pujian mahupun kritikan terhadap ahli-ahli akan dibuat secara objektif.

u  Corak kepemimpinan demokratik dikatakan yang paling berkesan dan produktif.

u  Corak kepemimpinan ini meningkatkan interaksi, komunikasi dan pembuatan keputusan pekerja.

u  Corak ini menghasilkan pemikiran baharu, perubahan yang positif dan rasa tanggungjawab bersama.


KEPIMPINAN DIREKTIF (VS) KEPEMIMPINAN PARTISIPATIF

Kepemimpinan Direktif

u  Peranan pemimpin dalam corak kepemimpinan ini dilihat sangat aktif khususnya dalam penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan. Beliau mengharapkan ahli-ahli di bawahnya dapat dibimbing dengan keputusan yang diambilnya.

u  Untuk mendapatkan penerimaan atau cadangannya diterima pengurus atau pemimpin, direktif akan menggunakan cara memujuk, memberi alasan yang munasabah dan logik.

u  Ada kalanya pemimpin jenis ini menekankan kepentingan atau keperluan dana dan ada kalanya menggunakan ganjaran atau tekanan supaya diterima. Pemimpin hanya mengeluarkan perintah dan arahan.

u  Kelebihan kepemimpinan direktif:

 (i) Banyak arahan daripada pemimpin-pemimpin ada hubungan dengan penambahbaikan keberkesanan kumpulan.

 (ii) Kepemimpinan direktif cuba mengurangkan semaksimum mungkin kesalahan.

 (iii) Schumer mendapati bahawa kualiti dan kuantiti produktiviti dapat ditingkatkan oleh kepemimpinan berbentuk direktif.

 (iv) Penambahbaikan dalam aktiviti penyelesaian masalah.

 (v) Ahli-ahli akan menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan di bawah arahan.

Kepemimpinan Partisipatif

u  Corak kepemimpinan ini berasaskan pengaruh pemimpin terhadap yang dipimpin. Pemimpin sangat menggalakkan penglibatan dan partisipasi ahli-ahli di tempat kerja. Arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh pemimpin disertai dengan keterangan atau penjelasan secara terperinci.

u  Dalam sistem kepemimpinan partisipatif wujud komunikasi dua hala. Komunikasi berlaku secara mendatar dan menegak. Pimpinan cuba mempengaruhi ahli-ahlinya atau berlaku tawar-menawar dengan mereka.

u  Dalam keadaan lain pengurus mendapatkan pandangan ahli-ahlinya sebelum sesuatu keputusan diambil atau dibuat. Ada pengurus atau pemimpin melibatkan penyertaan ahli-ahli sepenuhnya dalam mencapai sesuatu keputusan.

Lazimnya wujud penglibatan kumpulan kerja dalam penetapan matlamat, pembuatan keputusan, penambahbaikan kaedah dan penilaian prestasi.


KEPEMIMPINAN BERORIENTASI TUGAS (VS) KEPEMIMPINAN BERORIENTASI HUBUNGAN

Maksud Orientasi Tugas

u  Pemimpin yang berorientasikan tugas sangat mengambil berat akan perkara-perkara seperti prihatin terhadap pengeluaran, berkeinginan untuk mencapai kejayaan, berorientasikan pencapaian, memberi penekanan kepada pengeluaran dan memudahkan kerja serta pencapaian matlamat.

u  Pemimpin yang hanya berorientasikan tugas biasanya akan mengekalkan jarak psikologi antara mereka dengan ahli-ahlinya dan bersifat dingin serta mengasingkan diri.

u  Kejayaan pemimpin-pemimpin yang berorientasikan tugas dapat dilihat kepada sumbangan yang diberikan terhadap keberkesanan kumpulan dengan menetapkan matlamat, mengagihkan tenaga kerja dan menguatkuasakan sekatan.

u  Usaha dibuat bagi menstruktur ahli-ahli mereka, menjelaskan peranan yang lain, menerangkan perkara yang perlu dilakukan dan sebab dilakukan, mewujudkan corak atau bentuk organisasi dan saluran-saluran komunikasi dengan jelas serta menentukan cara-cara untuk menyiapkan tugasan.

 

Maksud Orientasi Hubungan

u  Pemimpin juga berbeza dalam usaha mencari pendekatan hubungan manusia dan cuba mengekalkan hubungan sebagai kawan dan membantu ahli-ahli mereka. Mereka yang sangat prihatin dikenal pasti sebagai pemimpin berorientasikan hubungan.

u  Mereka sangat prihatin terhadap manusia, berpusatkan manusia, sangat prihatin terhadap penjagaan atau penjagaan kumpulan, memudahkan interaksi dan sokongan, berorientasikan interaksi, mengambil berat pekerja-pekerja dan ingin bergabung atau bersama.

u  Pemimpin sebegini ialah pemimpin ekspresif dan cuba mewujudkan jalinan sosial dan emosi.

u  Biasanya pemimpin orientasi hubungan ialah pemimpin yang menaruh kepercayaan terhadap ahli-ahlinya dan tidak banyak kawalan terhadap mereka atau penyeliaan yang ketat terhadap subordinat.



No comments:

Post a Comment

Melaka Heritage Treasure Hunt 2024

                       Tahun 2024 telah melabuhkan tirai dengan meninggalkan pelbagai kenangan dan program yang tenang dan berpasukan..semua...